Kenali Herba





Nama Saintifik

Parkia speciosa Hassk.

Family

Fabaceae (Leguminosae)

Nama Tempatan

Petai (Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu), petah, petai papan

Keterangan

Parkia speciosa ialah sejenis pokok besar yang boleh mencapai ketinggian 35 m, kadangkala lebih besar. Kulit batang berwarna perang kemerahan, dahan diliputi bulu-bulu halus. Daun majmuk, tersusun berselang, jenis bipinat, mempunyai 14-18 pasang pina, setiap pina mempunyai 31-38 anak daun. Anak daun tersusun setentang, berbentuk oblong, hujung membulat, dan tepi daun licin. Jambak bunga pada aksilari, bersifat tergantung, berbentuk kepala, dan bertangkai panjang. Bunga jenis biseks, berwarna krim putih. Buah jenis pod, panjang 35-45 cm, berpintal, dan berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada perang atau hitam apabila matang. Setiap pod mengandungi hingga 18 biji. Biji berbau busuk, berwarna hijau, dan berbentuk elipsoid.



Kegunaan

Petai digunakan untuk penjagaan ibu selepas bersalin, merawat kayap, dan mengawal tekanan darah tinggi dan aras glukosa dalam darah.



Monograf Herba Malaysia (sumber: Globinmed)