Kenali Herba
Nama Saintifik
Blumea balsamifera (L.) DC.Family
Asteraceae (Compositae)Nama Tempatan
Sembung, sembong, capa, capar, kesembung, cape, caper, capor, sembing, semboh, telinga kerbau, daun sembung, sapu.Keterangan
Blumea balsamifera (L.) DC. merupakan pokok renek mencapai ketinggian 4 m. Batang tumbuh menegak, berbentuk bersegi, berwarna hijau diliputi bulu vilus. Daun tersusun secara berselang-seli, berbentuk eliptik, margin serat hingga bergerigi, pangkal kuneat hingga obtus, apeks subakut hingga akuminat, indumentum berbulu lebat yang lembut pada kedua-dua permukaan daun, menghasilkan bau aromatic apabila diramas. Tangkai daun mempunyai tiga pasang lobus, berbentuk eliptik. Jambak bunga panikel yang besar, berkepala majmuk yang banyak pada kedudukan terminal atau aksilari dengan kehadiran banyak daun berbentuk eliptik yang bersaiz kecil. Involukel jenis kampanulat, filari 4-5 seriat, berbentuk linear hingga lanseolat, berwarna hijau, berbulu lebat. Floret berwarna kuning, berbentuk tubular. Kepala bunga dan floret seragam dari segi saiz dan bentuk tanpa mengira habitat. Buah jenis aken, berlekuk, berbentuk oblongoid-obovoid, pubesen, pappus berwarna kuning kemerahan.
Kegunaan
Sembung digunakan sebagai mandian ibu selepas bersalin, pelapik tungku, sediaan mandi bunga, mandi herba, ramuan minyak urut, meningkatkan kesegaran badan, meredakan bengkak, demam kuning, merawat kayap, angin ahmar, patah, buasir, senggugut, gastrik, sembelit, penawar darah, membuang angin dalam badan, merawat sakit urat saraf, mengawal aras glukosa dalam darah, rawatan komplemen kepada masalah buah pinggang dan ketumbuhan.
Monograf Herba Malaysia (sumber: Globinmed)
