Kenali Herba





Nama Saintifik

Averrhoa bilimbi L.

Family

Oxalidaceae

Nama Tempatan

Belimbing buluh, buluh belimbing, belimbing besi

Keterangan

Averrhoa bilimbi L. boleh tumbuh mencapai ketinggian 5-6 m. Berdahan banyak, menegak, dahan atau batang muda sangat pubesen. Daun majmuk, tersusun berselang dan biasnya berkelompok pada hujung batang. Anak daun berbentuk oblong-lanseolat, pangkal membulat serong, hujung berbentuk akuminat, dan kedua-dua belah permukaan daun pubesen. Jambak bunga bersifat ramiflori, jenis panikel, dan berbunga banyak. Bunga berwarna merah keunguan. Buah jenis beri, berbentuk ellipsoid-obovoid, teret hingga bersegi lima, dan berwarna kuning kehijauan. Biji sederhana banyak, berbentuk leper. Isi buah sangat masam.



Kegunaan

Belimbing buluh boleh digunakan untuk meredakan demam kuning, demam, demam campak, merawat kudis, penyakit puru (tapak kaki berlubang-lubang dan rasa berdenyut pada kaki, keras pada tapak kaki), sawan pengantin/sawan orang meninggal, rawatan komplemen kepada masalah batu karang, melawaskan kencing, penjagaan bagi ibu selepas bersalin, mandian bagi ibu selepas bersalin, mengawal aras kolesterol, tekanan darah, dan aras glukosa dalam darah.