Kenali Herba
Nama Saintifik
Carica papaya L.Family
CaricaceaeNama Tempatan
Betik, tembi, petikKeterangan
Carica papya L. boleh tumbuh mencapai ketinggian hingga 10 m. Mempunyai getah berwarna putih pada keseluruhan bahagian tumbuhan. Batang berbentuk silinder, mempunyai kesan tinggalan daun gugur yang jelas pada batang. Biasanya tidak bercabang jika berlaku kecederaan. Daun tersusun berpilin dan berkelompok pada hujung batang. Daun jenis palmat dan mempunyai 5-9 cuping daun. Daun berbentuk orbikular dan peruratan daun jelas dan menonjol. Tangkai daun mencapai Panjang sehingga 1 m. Jambak bunga pada aksilari. Bunga Jantan jenis panikel manakal bunga betina biasanya bersifat tunggal. Buah jenis beri, mempunyai saiz dan bentuk yang pelbagai seperti berbentuk ovoid memanjang atau hamper bulat, berbentuk seperti buah pir, dan berbelimibing. Berbiji banyak berwarna hitam atau kelabu yang diselaputi oleh lapisan sarkotesta yang bergelatin.
Kegunaan
Betik digunakan untuk melegakan sakit kepala, mewarnakan rambut, mengurangkan uban, merawat rambut gugur dan berkelemumur, kayap, penyakit kulit, asma, angin pasang, melegakan sakit urat dan membuang angin dalam badan, mengurangkan gastrik, merawat kecacingan dan buasir, meredakan demam kura, demam denggi, demam campak, dan demam panas, merawat meroyan, radang tonsil, Penawar racun tikus, penjagaan bagi ibu selepas bersalin, pelapik tungku, mandian bagi ibu selepas bersalin, ramuan jamu, mengawal tekanan darah tinggi dan aras glukosa dalam darah, rawatan komplemen kepada masalah jantung, ketumbuhan otak, batu karang dan merawat angin ahmar.
