Kenali Herba





Nama Saintifik

Annona muricata L.

Family

Annonaceae

Nama Tempatan

Durian Belanda, durian eropah/mengala, durian Makkah, durian benggala, Nangka Belanda, seri kaya Belanda, mempisang, nona blanda, hampun klapa

Keterangan

Annona muricata L. boleh tumbuh mencapai ketinggian 3-10 m. Batangnya bercabang di pangkal batang. Daun ringkas, tersusun secara berselang, bentuk oblong-obovat, hujung daun berbentuk akuminat pendek. Panjang tangkai daun 3-7 mm. Jambak bunga pada aksilari. Bunga jenis tunggal, berwarna hijau kekuningan, mempunyai tiga sepal berbentuk segi tiga, mempunyai enam petal. Buah jenis pseudokarpa, berbentuk ovoid atau ellipsoid, berwarna hijau gelap dan dilitupi oleh duri lembut, berisi dan mempunyai pulpa berwarna putih. Biji banyak, berbentuk obovoid, berwarna hitam keperangan dan berkilat.



Kegunaan

Durian belanda digunakan untuk penjagaan kesihatan dalaman wanita dan lelaki, melegakan sakit gigi, merawat rambut gugur dan berkelemumur, menghilangkan kutu rambut, meredakan demam, demam kura, demam campak, demam kuning, dan demam panas, menambah selera makan, ramuan minyak urut, melegakan sakit urat, merawat kecacingan, mandian bagi ibu selepas bersalin, merawat meroyan, merawat buasir dan gout, dan rawatan komplemen kepada masalah ketumbuhan.