Kenali Herba





Nama Saintifik

Cinnamomum verum J.Presl.

Family

Lauraceae

Nama Tempatan

Kayu manis (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu)

Keterangan

Cinnamomum verum ialah sejenis pokok mencapai ketinggian hingga 18 m.  Kulit batang sangat beraroma, berwarna perang gelap atau kelabu keperangan. Susunan daun setentang, daun berbentuk lanseolat hingga ovat, pangkal daun membulat, hujung daun akuminat, tepi daun licin, permukaan daun glabrus, berwarna putih kehijauan pada bahagian abaksial dan berwarna hijau gelap dan berkilat pada permukaan adaksial, tangkai daun beralur pada permukaan atas. Tiga urat utama daun jelas kelihatan. Daun beraroma apabila diramas. Jambak bunga pada aksilari atau terminal, jenis panikel. Bunga berwarna kuning, bersaiz kecil, berbentuk tiub, mempunyai enam kelopak, dan berbau busuk. Buah jenis beri, bersaiz kecil, berbentuk elipsoid hingga ovoid, berwarna hitam apabila matang, dan bahagian pangkal buah ditutupi oleh perianth (bunga) yang berkembang.



Kegunaan

Kayu manis digunakan untuk penjagaan ibu selepas bersalin, mandian ibu selepas bersalin, sediaan mandi wap, mengecutkan peranakan, mengelakkan penyakit batu merian, ramuan bertangas, pilis, param (mengempiskan perut), jamu, majun, minyak urut, melegakan sakit kepala/ migrain, dan merawat buasir.