Kenali Herba





Nama Saintifik

Cinnamomum iners Reinw. ex Blume (Sinonim: Cinnamomum eucalyptoides T. Nees, C. nitidum Blume, C. paraneuron Miq.)

Family

Lauraceae

Nama Tempatan

Medang teja

Keterangan

Pokok medang teja merupakan pokok malar hijau yang boleh mencapai ketinggian antara 20 hingga 30 meter dengan silara berbentuk bulat dan rimbun serta mempunyai kayu gubal yang keputihan. Daunnya adalah jenis mudah, terletak secara berhadapan atau hampir berhadapan, berukuran 7.5–30.0 cm panjang dan 2.5–9.0 cm lebar, berbentuk oblong hingga eliptik dengan hujung yang tajam serta tekstur daun seperti kulit (leathery). Daun mudanya berwarna merah jambu, manakala daun matang dan kulit kayu bahagian dalam mengeluarkan bau kayu manis yang kuat apabila dihancurkan. Bunganya berkelompok dalam jambak panicle di hujung atau ketiak daun, berwarna krim, dan mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Dari segi sifat fizikal serbuk daunnya, ia berwarna coklat gelap, berbau aromatik, dan tidak mempunyai rasa (tawar). Pencerapan mikroskopik ke atas serbuk daun menunjukkan kehadiran serpihan salur pilin berserta gentian, serpihan salur bergelung bersama sel parenkima, dan trikom mudah.



Kegunaan

Secara tradisional, bahagian akar dan daun pokok medang teja digabungkan dan direbus untuk dijadikan ubat rawatan keracunan, luka, dan demam. Air rebusan ini juga diberikan kepada wanita semasa tempoh berpantang sebagai ubat pelindung daripada kemurungan pascadonat (meroyan). Selain itu, jus daripada daunnya disapu secara luaran pada bahagian tubuh bagi melegakan kesakitan akibat reumatisme.