Kenali Herba





Nama Saintifik

Goniothalamus macrophyllus (Blume) Hook. f. & Thomson

Family

Annonaceae

Nama Tempatan

Selada, akar beranak gajah, penawar hitam, lada hutan

Keterangan

Tumbuhan ini merupakan renek atau pokok yang boleh tumbuh sehingga 8 meter tinggi. Daunnya berbentuk oblong-lanceolate hingga oblong-oblanceolate berukuran 22–30(–50) cm panjang dan 6–11 cm lebar, dengan pangkal sub-akut hingga membulat, hujung yang tajam, licin dan mempunyai tekstur seperti kulit (coriaceous). Tangkai daunnya berukuran 1–3 cm panjang. Bunganya tumbuh secara bersendirian pada ketiak daun dengan tangkai bunga berukuran 1–1.2 cm panjang. Kelopaknya berbentuk oblong-ovate hingga oblong-lanceolate (1.5 cm panjang) berwarna keungu-unguan, manakala kelopak luar berbentuk oblong-lanceolate (3.3 cm panjang) berwarna kehijauan dan kelopak dalam berbentuk rhomboid (1.8 cm panjang) berwarna putih kehijauan. Buahnya (monocarp) berbentuk bulat hingga bujur , berukuran 1–2 cm x 1 cm, tidak bertangkai (sessile), berwarna merah, dan mengandungi 1 biji. Dari segi fizikal serbuk akarnya, ia berwarna coklat pucat, berbau aromatik, dan mempunyai rasa yang pahit. Pencerapan mikroskopik ke atas serbuk akar menunjukkan kehadiran gentian, serpihan salur berliang, dan salur berliang bersama sel parenkima.



Kegunaan

Secara tradisional, air rebusan akar tumbuhan ini digunakan secara luaran untuk melegakan selesema, manakala wapnya digunakan untuk merawat demam. Ia juga diberikan kepada wanita semasa tempoh berpantang dan akarnya dipercayai bertindak sebagai bahan penggugur (abortifacient). Daunnya dipanaskan dan disapu secara luaran untuk menyembuhkan bengkak. Selain itu, tumbuhan ini didakwa berguna untuk merawat tekanan darah tinggi (hipertensi). Di Brunei, pesakit yang mengalami sawan demam dirawat dengan mendedahkan mereka kepada asap daripada batang tumbuhan ini yang dibakar.