Kenali Herba
Nama Saintifik
Phyllagathis rotudifolia (Jack) BlumeFamily
MelastomataceaeNama Tempatan
Akar serau malam, seri bulan, bawal hutan, pokok fatimah, akar tapak gajahKeterangan
Herba ini merupakan semak menjalar atau jarang-jarang tumbuh menegak. Daunnya berbentuk bulat (orbicular) atau obovat-kordat, berwarna hijau gelap berkilat di bahagian atas, merah di bahagian bawah, serta mempunyai 7 urat melintang dengan urat daun kecil (nervules) yang jelas kelihatan, licin (glabrous) atau berbulu jarang di bahagian atas, dan licin di bahagian bawah. Tangkai daun (petiol) berukuran 4–10 cm panjang dan berbulu kejur merah di sepanjang tepi bahagian atas. Bunganya berukuran 30–50 cm dalam jambak (head), dengan tangkai bunga (pedicel) berwarna magenta dan kelopak (calyx) berbentuk loceng (campanulate). Sediaan herba ini berupa serbuk berwarna hijau pucat (pale-green powder), mempunyai bau khas (characteristic), dan tiada rasa (tasteless). Dari segi mikroskopi, serbuk daun Phyllagathis rotundifolia mengandungi epidermis adaksial, fragmen salur lingkaran (spiral vessels), dan trikom dendritik (dendritic trichome).
Kegunaan
Tumbuhan herba ini digunakan secara tradisional dalam merawat demam, sakit perut, malaria, dan bertindak sebagai tonik. Daunnya yang ditumbuk digunakan untuk merawat hulu hati (heartburn) dengan menyapu pes tersebut pada bahagian yang terjejas. Rebusan daun pula dipercayai dapat mempercepatkan proses kelahiran plasenta (uri) selepas bersalin serta mampu membersihkan sisa darah di dalam rahim. Selain itu, daunnya juga disapu pada bahagian abdomen bayi yang baru lahir untuk memberikan kekuatan kepada anak tersebut.
