Kenali Herba





Nama Saintifik

Polyalthia bullata King

Family

Annonaceae

Nama Tempatan

Pokok peleh angin, tongkat Ali

Keterangan

Tumbuhan ini merupakan pokok renek yang boleh tumbuh sehingga 3 meter tinggi, di mana ranting-ranting mudanya dilitupi dengan bulu-bulu halus berwarna keemasan. Daunnya berbentuk lanceolate atau oblong-lanceolate berukuran 28–37 cm panjang dan 3–12 cm lebar, bertekstur seperti kertas atau kulit nipis, permukaan daun berkedut (bullate), serta mempunyai pangkal berbentuk cordate atau auricled yang dalam. Tangkai daunnya pendek dan tebal dengan ukuran 3–5 mm panjang. Bunganya yang berbentuk linear dan berwarna kekuningan tumbuh bersendirian atau secara berkelompok (2–3 bunga) bertentangan dengan kedudukan daun. Serbuk akarnya pula berwarna coklat kehijauan pucat, tidak berbau, dan mempunyai rasa yang pahit. Apabila diperhati di bawah mikroskop, serbuk akarnya mengandungi epidermis adaksial, sel parenkima, brachysclereids, gentian, dan serpihan salur berliang.



Kegunaan

Secara tradisional, air rebusan daripada akar tumbuhan ini diminum untuk merawat jangkitan buah pinggang dan dijadikan sebagai tonik kesihatan lelaki. Selain itu, bahagian bunga, daun, serta akarnya boleh ditumbuk sehingga halus dan diambil untuk membantu mengurangkan tekanan darah tinggi serta merawat kencing manis. Air rebusan akarnya juga kerap dicampur bersama Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) dan diminum sebagai afrodisiak lelaki.